ASAL KEJADIAN HAWA
[Bicara Agama]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Perbincangan mengenai kejadian Nabi Adam perlu juga dikaitkan dengan kejadian Hawa. Sebahagian ulama berpendapat Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Nabi Adam berdasarkan kata nabi yang bermaksud,
“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian atas.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Antara ulama yang berpegang dengan pendapat ini adalah sahabar Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Masud, Imam Mujahid, Ibn al-Munzir, Ibn Humaid dan ramai lagi. Namun apabila al-Quran dirujuk berhubung perkara ini, kita tidak menemui sebarang dalil yang menyokong pandangan ini.
Sebagai contoh, berhubung dengan kejadian Hawa, dalam surah an-Nisak ayat 1, Allah menjelaskan yang bermaksud,
“Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu daripada satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”
HAWA DICIPTAKAN DARI RUSUK ADAM?
Dalam ayat ini dan yang seumpamanya kejadian Hawa tidak langsung dikaitkan dengan tulang rusuk Nabi Adam.
Berhubung dengan isu ini, Hamka berkata, “Ahli-ahli ijtihad tidak membantah hadis yang sahih ini (iaitu hadis yang mengatakan wanita tercipta daripada tulang rusuk lelaki), namun ia tidak boleh dijadikan alas alasan yang tepat bagi mengatakan Hawa terjadi daripada tulang rusuk di sebelah bawah dan kiri Nabi Adam. Yang jelas sekali adalah kaum wanita kesemuanya bukan terjadi daripada tulang rusuk apatah lagi tulang rusuk suaminya. Yang menjadi pertikaian adalah mengenai Hawa (sama ada beliau terdiri daripada tulang rusuk Nabi Adam atau pun tidak). Oleh kerana Islam adalah satu-satunya agama yang memberi kebebasan berijtihad kepada mereka yang ahli (atau mampu), maka tidak ada salahnya sekiranya terdapat perbezaan pendapat (dalam hal ini). Justeru, tidak dihukum keluar daripada Islam sekiranya seseorang berkeyakinan, berdasarkan penyelidikannya, bahawa Hawa tidak terjadi daripada tulang rusuk Adam. Tidak ada salahnya sekiranya umat Islam turut memberikan perhatian bagi menyelidiki teori-teori yang berkaitan (dengan persoalan) berapa tahunkah manusia sudah berada di dunia ini.” Kenyataan ini dilaporkan di dalam kitab Tafsir al-Azhar.
![]() |
| Gambar Hiasan |
YAKIN AKAN KEJADIAN ADAM DAN HAWA
Apa yang jelas adalah Nabi Adam dan Hawa merupakan ibu bapa kita yang asal. Quran menyatakan Nabi Adam dijadikan daripada tanah liat tetapi tidak diperincikan berkenaan asal usul kejadian Hawa. Berhubung dengan Hawa, Quran sekadar mengatakan, “Dan daripadanya (iaitu Adam) Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”
Apa yang penting adalah manusia diizinkan Allah bagi mengkaji asal usulnya. Dalam surah al-Ankabut ayat 20, Allah menyatakan,
“Katakanlah, ‘Berjalanlah di muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan manusia dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi (di akhirat).”
![]() |
| Gambar Hiasan |
Wallahua'lam... Sekadar Perkongsian...
maktabah-ilmu.blogspot.com



No comments:
Post a Comment