13 January 2011

24 Jam Adalah Hadiah



24 JAM ADALAH HADIAH
[Tazkirah]
maktabah-ilmu.blogspot.com

Orang yang suka membuang masa seolah-olah sedang membuang modal yang sepatutnya digunakan bagi mengembangkan perniagaannya. Di dalam Ihya Ulumuddin, dalam bab Bahaya Lidah, Imam Ghazali berkata, 
“Modal bagi seseorang hamba Allah ialah waktunya. Jika dia gunakan waktu itu pada perkara yang tidak diperlukan dan tidak digunakannya untuk mencari pahala akhirat, dia telah mensia-siakan modalnya.”

Gambar Hiasan

JANGAN BERTANGGUH WAKTU

Tuhan memberikan kepada setiap insan agihan masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam. Orang yang berjaya adalah orang yang berjaya mengisikan 24 jam itu dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Suka menangguhkan kerja adalah penyakit yang sering menyerang golongan yang gagal. Bagi mereka, esok pasti datang. Justeru, tidak ada salahnya jika mereka menanti esok. Sebaliknya, golongan yang berjaya segera memanfaatkan waktu sekarang kerana ia sedia ada dalam genggaman mereka.

Dalam bahasa Inggeris, waktu sekarang ialah present dan present bermaksud hadiah. Hadiah perlu dihargai. Umat Islam berpotensi untuk berjaya kerana agama Islam mendidik umatnya supaya tidak menangguhkan kerja. Mengikut Imam Bukhari, sahabat Abdullah bin Umar pernah berkata, 
“Apabila kamu berpetang, janganlah kamu menanti pagi dan apabila kamu berada di pagi hari janganlah kamu menanti petang.”

Gambar Hiasan

TUNAIKAN AMANAH MASA DENGAN CEMERLANG

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq pernah berpesan kepada sahabat Umar bin Khattab,
“Wahai Umar, tanggungjawab yang Allah serahkan pada malam hari janganlah ditangguhkan hingga ke siang hari dan yang diserahkan pada pagi hari janganlah ditangguhkan ke malam hari.”

Orang yang suka menangguhkan kerja perlu mengira waktu yang berlalu dengan kiraan saat. Jika masa yang dirugikan adalah sejam, mereka perlu menyedari sebanyak 3,600 saat sudah dimusnahkan. Jika sehari, 86,000 saat, dan jika seminggu, 604,000 saat daripada hidup mereka sudah disia-siakan. Mungkin jika 604,800 saat ini bertukar menjadi $604,800 barulah manusia menyedari betapa bernilainya masa itu!

Gambar Hiasan


Sekadar Perkongsian... Wallahua'lam...
maktabah-ilmu.blgspot.com


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...