PIALA SUZUKI AFF 2010: TAHNIAH MALAYSIA
[Tinta Admin]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada pemain-pemain Malaysia, jurulatih serta seluruh penyokong Malaysia atas kejayaan merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF buat kali pertama. Kejayaan menewaskan Indonesia di pentas akhir adalah sesuatu yang membanggakan. Walaupun anak didik K.Rajagopal tewas ketika beraksi dalam pentas akhir timbal balik di Indonesia, namun dapat dilihat, semangat dan kemampuan anak muda Malaysia amat menyerlah.
![]() |
| Pasukan Kebangsaan Malaysia |
Ini merupakan suatu titik permulaan era kegemilangan bola sepak negara ke arah yang lebih cemerlang. Lebih jelas, Malaysia kini lebih maju dan bukan hanya dilabel sebagai jaguh kampung, namun ianya telah mampu menggerunkan musuh di rantau Asia Tenggara khasnya dan di dunia umumnya.
PELBAGAI ISU CETUS RESAH
Menjelang sepak mula perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Indonesia, telah muncul pelbagai isu-isu yang boleh dikatakan sebagai, isu yang mampu menggugat hubungan baik antara dua negara berjiran ini. Dengan isu yang ditimbulkan dan dihangatkan oleh media Indonesia yang mengatakan Malaysia telah menciplak lagu mereka untuk dijadikan lagu kebangsaan, maka telah tercetus suatu keadaan di mana rakyat Indonesia sendiri telah menjalankan konfrontasi terhadap Malaysia.
Ketika perlawanan akhir pertama yang berlangsung di Kuala Lumpur, timbul pula isu laser yang dikatakan telah menyebabkan kekalahan pasukan Indonesia kepada pasukan Malaysia. Memang dapat dilihat ketika siaran langsung, ada pancaran laser dihalakan ke arah penjaga gol pasukan Indonesia, namun adakah ia punca kekalahan pasukan Indonesia seluruhnya? Bagi saya, ia tidak menjadi masalah, kerana laser tidak mengganggu mata jika dipancarkan dari jarak yang jauh.
Ada bukti menunjukkan, sebenarnya penyokong Indonesia yang lebih dahulu menggunakan laser untuk diarahkan kepada pemain ketika perlawanan peringkat kumpulan antara Malaysia dan Indonesia yang berkesudahan Malaysia kalah, 5-1. Lihat SINI. Bukan itu saja, ada juga bukti yang menunjukkan, mereka juga telah menggunakan laser pada perlawanan Indonesia bertemu Filipina tempoh hari. Lihat Sini.
Bukan isu laser sahaja yang dilontarkan bahkan ada yang mengatakan pihak Malaysia telah bermain bomoh dengan meletakkan serbuk di padang sehingga penjaga gol pasukan Indonesia menjadi gatal-gatal ketika perlawanan. Ini adalah tuduhan yang kotor dan tidak masuk akal!
NILAI PERSAUDARAAN DALAM SUKAN
Saya ada terbaca dalam komen-komen di blog-blog, ada yang mengatakan, inilah antara strategi orang kafir untuk menghancurkan umat Islam. Dengan ‘5S’ mereka (Sport, Song, Smoke, Sex, Social), mereka mungkin telah bersorak gembira melihat kita sesama saudara Islam di Malaysia dan Indonesia, berbalah hanya kerana bola sepak. Astagfirullah, alangkah ruginya kita yang masih tidak sedarkan diri akan hal ini.
Terlalu banyak ayat-ayat dan komen yang berbentuk provokasi, maki-hamun dan caci mencaci telah menghiasi kebanyakkan laman-laman blog, tak kira di Malaysia atau di Indonesia. Sehinggakan adakalanya telah membuka aib diri sendiri. Itukah nilai sebenar Islam dalam diri kita?
Kita tidak boleh salahkan sesiapa dalam hal ini. Semua orang ada hak dalam memperkatakan sesuatu. Namun, ianya perlu ada batas dan etika. Jangan hanya kerana sebiji bola, persaudaraan dan persahabatan antara dua negara terjejas.
Kita perlu mengambil iktibar atas apa yang telah berlaku. Nilai persaudaraan dan persahabatan perlulah diutamakan. Ditambah dengan ikatan keIslaman yang sedia terjalin, adalah lebih mendorong kita untuk menjadi Muslim contoh dan ikutan kepada penganut agama yang lain. Islam tidak mengajar kita untuk terlalu taksub sehinggakan sanggup menggadai maruah sendiri, tetapi Islam mengajar kita erti toleransi dan nilai murni yang tinggi.
Oleh itu, marilah sama-sama kita kembali kepada nilai persaudaraan yang sebenar. Yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
RIO FERDINAND UCAP TAHNIAH
Bintang pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand telah mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan Malaysia menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir.
CUTI UMUM 31 DISEMBER 2010
Dengan kemenangan yang bersejarah ini, atas dasar kebanggaan kepada skuad kebangsaan yang berjaya merangkul kejuaraan buat kali pertama dalam Piala AFF Suzuki 2010, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd Razak telah mengisytiharkan hari Jumaat, 31 Disember 2010 sebagai cuti umum.
Jadi, kepada yang memang cuti pada hari Jumaat, rasanya cuti pada hari tersebut akan ditunda pada hari Ahad, kemungkinan.
Akhirnya, tahniah buat pasukan Malaysia, tahniah dan terima kasih buat penyokong Malaysia. Dan tahniah juga buat pasukan Indonesia dan penyokongnya. Peace No War!! =)
I LOVE MALAYSIA!!
SELAMAT TAHUN BARU 2011 dari maktabah-ilmu.blogspot.com


No comments:
Post a Comment