SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1432H
[Tinta Admin]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Tidak lama lagi, bulan Ramadhan al-Mubarak akan pergi meninggalkan kita. Dan tibalah pula bulan Syawal, bulan yang ada padanya suatu perayaan seluruh umat Islam bagi merayakan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan iaitu Hari Raya Aidilfitri.
Oleh itu, marilah kita menghadapkan setinggi-tinggi kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana telah memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu bulan tarbiah, bulan Ramadhan dan menemukan juga Syawal yang disambut meriah. Segala perkara-perkara kebaikan pada bulan Ramadhan hendaklah diteruskan dan istiqomah dengannya pada waktu-waktu yang lain juga.
Dan pada Syawal ini, saya ingin mengajak seluruh pembaca agar menyambut lebaran kali ini dengan bersederhana tetapi meriah. Terdapat beberapa perkara sunnah yang boleh kita sama-sama amalkan antaranya ialah memperbanyakkan takbir pada malam hari raya. Kita disunatkan bertakbir bermula dari terbenamnya matahari di akhir bulan Ramadhan di mana saja tidak kira di masjid ataupun di rumah hatta di jalanan sekalipun.
Di pagi Syawal, kita disunatkan untuk mandi sunat Aidilfitri, bersugi dan memakai wangian dan pakaian baru untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kita juga disunatkan menjamah sedikit makanan sebelum keluar menuju ke masjid.
Amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sangat dituntut ketika berhari raya. Pada hari raya inilah kesempatan untuk menghubungkan tali silaturrahim lebih terbuka luas. Di samping itu, ucapan selamat juga digalakkan antara sesama umat Islam.
Semoga dengan amalan-amalan sunat yang kita lakukan akan membuka lebih banyak jalan kebaikan buat kita mencari redha Allah SWT. Marilah berdoa kepada Allah SWT supaya dapat dipertemukan lagi dengan bulan Ramadhan pada tahun hadapan, InsyaAllah.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
^^Maaf Zahir Dan Batin^^
Ingatan Tulus Ikhlas,
Rohisyam bin Abidin
maktabah-ilmu.blogspot.com


No comments:
Post a Comment