30 July 2011

Ahlan Ya Ramadhan



AHLAN YA RAMADHAN
[Tazkirah]
maktabah-ilmu.blogspot.com


Tidak lama lagi, akan bermula sebuah kisah lembaran baru dalam usia ibadah kita dalam mencari redha dan berkat dari Ilahi. Itulah bulan dan ketikanya yang ditunggu-tunggu oleh pencinta pahala yang setia, iaitulah bulan Ramadhan al-Mubarak, sebuah bulan yang dirahmati lagi diberkati. Bulan tersebut penuh dengan keistimewaan yang telah disediakan oleh Tuan Punya Dunia untuk makhluk ciptaan-Nya.


Sumber: Google Search


Pada bulan Ramadhan, telah Allah SWT fardhukan ke atas umat Islam untuk berpuasa sebulan penuh bagi yang tidak mempunyai sebarang keuzuran. Tujuannya adalah untuk memberikan peluang kepada umat Islam itu sendiri bagi menambahkan saham akhirat dengan pelaburan yang begitu menguntungkan pada bulan ini.


SETIAP AMALAN DIGANDAKAN GANJARAN

Apabila tibanya bulan Ramadhan, seluruh umat Islam akan berasa gembira kerana telah dikhabarkan pada mereka, apabila mereka melaksanakan satu amalan, maka akan digandakan pahala atau ganjaran amalan mereka itu sebanyak sepuluh kali ganda. Bahkan pahala tersebut akan digandakan sebanyak seratus kali ganda. Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,

"Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya, setiap kebaikan digandakan dengan sepuluh kali ganda bahkan sampai seratus kali ganda.” (HR Bukhari dan Muslim)

Berbeza pada bulan-bulan yang lain, yang hanya padanya tiada ganjaran yang lebih istimewa seperti mana ganjaran yang ditawarkan pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini.


TIKA GEMBIRA DAN BAU MULUT ORANG BERPUASA

Nabi Muhammad juga pernah bersabda yang bermaksud,

“Untuk setiap orang yang puasa ada dua kegembiran; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Allah. Perubahan bau mulut orang yang berpuasa lebih baik bagi Allah di bandingkan wangian kasturi". (HR Bukhari dan Muslim)

Dari hadis nabi di atas, telah dijelaskan bahawa terdapat dua bentuk kegembiraan yang akan dinikmati oleh yang berpuasa iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Allah SWT. Kegembiraan ketika berbuka puasa sememangnya jelas kelihatan dari riak muka yang berpuasa. Setelah seharian menahan lapar dan dahaga, pada akhirnya dapat juga berbuka puasa dengan makanan yang sedap dan lazat.

Namun ada lagi kegembiraan yang akan menanti orang yang berpuasa iaitu kegembiraan ketika bertemu dengan Allah SWT. Sesungguhnya, kegembiraan inilah yang amat dinantikan dan diharapkan oleh seluruh umat Islam yang sentiasa menuruti perintah Maha Pencipta.

Apabila seseorang tidak makan atau minum seharian, maka mulut atau nafas akan sedikit berbau. Apabila hendak bercakap dengan orang lain, semestinya akan berasa tidak selesa. Namun, perlu diketahui bahawa bau nafas orang yang tidak makan dan minum dengan berpuasa itulah sebenarnya bau yang lebih baik di sisi Allah SWT berbanding bau wangian kasturi. Oleh itu, tidak perlu dirisaukan akan bau yang tidak menyenangkan di sisi manusia kerana ia amat menyenangkan di sisi Allah SWT.



DOANYA TIDAK DITOLAK

Orang yang berpuasa mempunyai banyak ganjaran yang telah dijanjikan Allah antaranya ialah doa orang yang berpuasa, tidak akan ditolak. Seperti mana dalam sebuah hadis Nabi yang bermaksud,

"Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir". (HR Bukhari)

Juga dalam sebuah hadis yang lain juga menyebut,

"Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka." (HR Ibn Majah)

Oleh itu, ambillah kesempatan pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini, untuk memohon ampunan daripada Allah SWT atas segala salah silap yang dulu. Gunakan kesempatan yang diberikan dengan sebaiknya dan lakukanlah amal ibadah seikhlas mungkin agar segala urusan akan dipermudahkanNya.

Sumber: Google Search



PUASA MENGAJAR ERTI AKHLAK YANG BAIK

Apabila seseorang mengakui bahawa dia sedang berpuasa, maka sebenar-benar puasa bukan sahaja menahan diri dari makan dan minum semata-mata, bahkan perlu dihindarkan dari segala perbuatan yang boleh mencacatkan erti puasa itu sendiri.

Orang yang berpuasa perlu belajar untuk menahan diri dari melakukan perbuatan yang sia-sia, yang tidak mendatang faedah kepada diri sendiri dan orang lain. Mata dengan tidak melihat sesuatu yang tidak baik, telinga dengan tidak mendengar perkara fitnah, umpat dan sebagainya, kaki yang tidak melangkah ke tempat-tempat maksiat, tangan yang tidak mengambil barang orang lain dan tidak menyakiti orang lain, malah mulut yang paling penting untuk dijaga dan dipelihara dari melakukan perkara yang lagho ini.

Pendidikan berpuasa itu sebenarnya mampu mendidik manusia agar berakhlak dengan akhlak yang baik. Sabda Nabi yang bermaksud,

"Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha (sia-sia) dan tidak bercakap perkataan yang keji." (HR Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi)

Dalam hadis lain yang turut menyebut berkenaan akhlak ketika berpuasa, sabda Nabi yang bermaksud,

"Apabila seseorang berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan yang kotor dan jangan pula bertengkar. Sekiranya dia dimaki oleh seseorang atau diajak bergaduh maka hendaklah dia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa." (HR Bukhari dan Muslim)


RAMADHAN BULAN HARAPAN KEAMPUNAN

Apabila seseorang melakukan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan kesabaran, maka sesungguhnya ganjaran dan pahala yang diberikan Allah SWT amatlah tidak ternilai banyaknya. Bukan sahaja memperoleh pahala yang banyak, malah ianya akan disertai pakej istimewa iaitu akhlak yang baik, hati yang tenang dan keberkatan hidup yang akan sentiasa berada di sampingnya.

Kerana apa? Kerana Allah SWT telah mengampunkan dosa-dosa orang yang berpuasa dengan penuh keyakinan dan ketaqwaan serta penuh pengharapan akan redha Allah SWT. Seperti yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad, yang bermaksud

"Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan sungguh-sungguh beriman dan ikhlas kerana Allah semata-mata, nescaya diampuni Allah dosa-dosanya yang terdahulu".(HR Bukhari)

Sebagai pendorong semangat, hayatilah sebuah janji Allah SWT yang disampaikan oleh UtusanNya kepada orang yang tekun berpuasa dan beribadah kepadaNya.

Nabi SAW bersabda, 

"Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut Pintu Rayyan. Semua orang yang berpuasa akan memasukinya pada hari kiamat dan tidak dibenarkan sesiapa pun selain daripada mereka memasukinya. Lalu dikatakan: "Di manakah orang yang berpuasa?" Lantas mereka pun berdiri dan tidak ada seorang pun yang dapat masuk selain orang yang berpuasa. Apabila sekalian orang berpuasa telah masuk, maka ditutuplah dan tiada seorang pun yang dapat memasukinya." (HR Bukhari dan Muslim)

Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna untuk kita. 

Sumber: Google Search
 
“Tingkatkan kualiti ibadah, kurangkan kontroversi maksiah”

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK
maktabah-ilmu.blogspot.com





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...