07 June 2011

Menjadi Seorang Kreatif



Menjadi Seorang Kreatif
[Motivasi Diri]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Manusia memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk maju.  Lebih menarik lagi, sesiapa sahaja boleh melakukan latihan-latihan tertentu secara konsisten bagi meningkatkan daya kreativiti mereka.  Dengan latihan-latihan ini anda akan dapati diri anda menjadi lebih kreatif dan anda mampu menyumbang pelbagai idea yang tidak pernah anda fikirkan selama ini.  Idea-idea ini mungkin menjadi penyebab kejayaan anda untuk lebih berjaya dalam karier, pergaulan, bisnes dan sebagainya. 

Gambar Hiasan
Langkah-langkah yang anda perlu ambil dari sekarang: 

1.      Berani lakukan perubahan.
Jangan takut untuk mencuba pelbagai pendekatan baru dalam melakukan sesuatu yang biasa anda lakukan.  Tidak semestinya pendekatan baru anda ini lebih baik tetapi sekurang-kurangnya anda melatih minda anda untuk berani lakukan perubahan.  Minda anda akan lebih fleksibel terhadap sesuatu perkara dan membuka peluang untuk anda lihat sesuatu perkara itu dari pelbagai sudut pandangan. 
Misalnya, cuba pelbagaikan jalan yang biasa anda ambil untuk ketempat kerja; setiap kali sembahyang Jumaat, pergi ke masjid yang berbeza; ubah dari semasa ke semasa kedudukan perabut di rumah atau di pejabat anda; ubat kegemaran anda menulis dalam satu-satu format, fonts, warna dan sebagainya; apabila ke restoran cuba minta minuman yang lain dari kebiasaan anda; fikirkan pendekatan baru atau stategi baru dalam satu-satu permainan; dan lain-lain.  Yang penting disini ialah biasakan diri anda untuk berani lakukan perubahan. 

2.      Suburkan setiap idea baru. 
Ramai orang yang mempersendakan idea-idea yang kurang matang atau kurang bernas.  Tetapi tidakkah anda sedar banyak kejayaan yang dicapai hari ini bermula dari idea yang tidak masuk akal?  Wright Brothers dikatakan gila apabila mereka kata besi boleh terbang.  Edison dicemuh apabila dia kata malam boleh menjadi terang.  Kini terbukti idea-idea gila merekalah yang membawa kemakmuran dalam hidup kita kini.  Oleh itu, jangan diracuni setiap idea.  Mungkin apabila idea tersebut dicanai ia membawa suatu impak yang besar dan pembaharuan dalam hidup.  Kaji setiap idea sebelum ia diketepikan. 
Meskipun terbukti idea tersebut tidak membawa faedah, namun pengalaman berfikir yang telah anda libatkan membawa makna besar dalam kejayaan selepas itu.  Idea atau cetusan ilham ada ketikanya datang secara tiba-tiba dalam masa hanya beberapa saat.  Jangan tertipu dengan berkata yang anda akan menulisnya kemudia kerana anda pasti lupa tentang ide aitu akibat kesibukan kerja, atau terfikir sesuatu perkara yang lain, atau anda sendiri berkata idea itu tidak bagus. 
Mulai hari ini pastikan anda sentiasa membawa buku kecil kemana-mana sahaja anda pergi.  Catatkan setiap idea, tanpa menilai, ke dalam buku kecil itu.  Berikan masa untuk anda fikirkan idea tersebut setelah anda tenang.

3.      Bina kebolehan meniru dan mengubahsuai. 
Hari ini, agak sukar untuk anda menemui idea-idea yang baru dan unik.  Kebanyakan idea baru anda datangnya daripada gabungan pelbagai idea yang telah wujud sekeliling anda.  Ada pendapat yang mengatakan, sekiranya anda mampu mengubahsuai 10% sahaja apa yang telah orang lain hasilkan maka cukup untuk anda menjadi kaya raya.  Pastikan pengubahsuaian ini tidak melanggar hak cipta atau paten yang telah didaftarkan oleh orang lain.
Gambar Hiasan

4.      Bina kreativiti anda apabila ada masa lapang. 
Gunakan masa lapang anda untuk mengasah minda kepada aktiviti yang merangsang daya kreativiti anda.  Sekiranya senaman dan riadah yang anda lakukan dimasa lapang banyak membantu kecergasan anda ditempat kerja (atau sekolah) begitulah juga dengan minda. 
Aktiviti minda yang anda lakukan dimasa lapang akan membantu kecerdasan minda anda ditempat kerja atau sekolah. Contohnya, gunakan masa lapang untuk teka-teki, permainan chess, "puzzles", melukis, kraftangan, fotografi dan sebagainya. 


5.      Amalkan sikap ingin tahu dan suka menyelidik. 
Jangan sekadar berpuashati dengan apa yang ada disekitar anda, tidak ada satu pun yang sempurna.  Setiap ciptaan manusia yang anda lihat pasti ada cacatnya.  Sikap suka menyelidik ini membolehkan anda mendapat idea-idea baru bagi menghasilkan sesuatu yang lebih baik dari yang sedia ada.  Tanyakan diri anda dengan soalan-soalan seperti Apa? Kenapa? Bila? Bagaimana? 
Setiap kali ada orang yang mengatakan yang sesuatu itu tidak boleh dibuat (atau tidak boleh dicapai), tanyakan soalan ini, "Kenapa tidak?".  Binakan sikap suka bertanya.  Tidakkah anda sedar anak kecil yang banyak bertanya itu lebih bijak daripada anak kecil yang sekadar diam.  Begitulah juga dengan kita.
Dengan mengamalkan saranan di atas dalam kehidupan harian anda, anda akan dapati banyak perkara baru dan menarik yang bakal ditemui setiap hari.  Minda anda menjadi lebih kreatif.  Anda lebih kritikal.  Tidak mudah menerima mentah-mentah sesuatu itu dan berani pula hadapi perubahan.  

Wallahua'alam. Sekadar Perkongsian.
maktabah-ilmu.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...