26 April 2011

Poco-Poco Dan Masyarakat Kita



POCO-POCO DAN MASYARAKAT KITA
[Isu Semasa]
maktabah-ilmu.blogspot.com

Setelah berlalunya isu akad nikah di masjid yang dikatakan menyerupai agama lain, kini timbul isu baru yang berkisar mengenai khilaf di kalangan ulama’-ulama’ Malaysia sendiri, iaitu mengenai tarian poco-poco. Maka, di sini ingin saya membawa pembaca melihat beberapa perkara yang berkaitan dengan tarian ini. Kita tidak boleh hanya menutup sebelah mata akan isu ini kerana ianya bercampur aduk dalam kehidupan kita secara tidak langsung.

Gambar Hiasan

Pertama kali saya mengenali tarian ini ialah pada 5 tahun lalu di universiti tempat saya belajar. Mereka mengajarkan tarian ini ketika Minggu Suaikenal Pelajar Baru pada minggu pertama pengajian di universiti. Pada mulanya, saya sememangnya kekok kerana tidak pernah melakukan tarian ini bahkan kenalnya pun tidak. Namun, lama kelamaan, saya juga merasakan ‘enjoy’ melakukannya.

Itu cerita 5 tahun lepas. Dan selepas itu, ada juga program-program di university yang menganjurkan tarian sebegini. Kadang-kadang saya juga turut serta. Oleh sebab itu, apabila timbul isu pengharaman tarian poco-poco oleh pihak Mufti Kerajaan Negeri Perak, maka saya berusaha mencari jawapan kepada persoalan masyarakat yang kelihatan keliru dalam isu ini. Kerana apa? Kerana kita juga pernah beramal dengan tarian ini. Takut-takut apa yang kita lakukan sememangnya salah di sisi syarak.


ASAL USUL TARIAN POCO-POCO

Mungkin sebelum ini kita pernah mendengar bahawa asalnya tarian ini datangnya dari Sumatera Indonesia. Mungkin kerana lagu poco-poco yang sering kita dengar adalah dari Indonesia, maka ramai yang menganggap tarian ini asalnya dari sana. Saya juga beranggapan sebegitu.

Namun, setelah pembacaan saya dalam pelbagai laman web berkaitan, dikatakan sebenarnya tarian ini datangnya Filipina bukannya dari Indonesia. Dan dikatakan lagi, tarian ini ditarikan oleh masyarakat yang beragama Kristian di sana, ketika mereka menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka. Dan yang menjadikan tarian ini dilihat seperti dari agama Kristian ialah dari pergerakannya, yang membentuk salib. Wallahua’alam.

Mungkin ada logiknya, namun sejauh mana kebenarannya, hanya Allah yang mengetahui. Mungkin ada di antara kita yang berfikir, kenapa tarian itu dimulakan dari sebelah kiri? Kenapa perlu bergerak ke kiri, ke hadapan, ke kanan ke belakang? Dan pelbagai persoalan lagi bagi yang sentiasa berfikir.


PRO KONTRA HUKUM TARIAN POCO-POCO

Kerajaan negeri Perak dengan Jabatan Mufti mereka telah menetapkan hukum haram tarian ini ditarikan. Akan tetapi terdapat negeri-negeri lain yang tidak sepakat dalam hal ini. Mereka tidak menetapkan hukum sepertimana yang ditetapkan kerajaan Negeri Perak.

Saya melihat perbezaan pendapat ini sebagai suatu hikmah buat kita. Kerana kita dapat menilai dari kajian dan pemerhatian yang telah dibuat, bagi menentukan sama ada perlu atau tidak untuk kita terus mengamalkan tarian ini sebagai suatu cara untuk bersenam.

Asal hukum bersenam adalah harus. Akan tetapi hukum ini boleh berubah kepada sama ada haram atau makruh atau sebagainya. Begitu juga dengan hukum pengharaman tarian poco-poco yang dijadikan rutin senaman segelintir masyarakat kita kini.

Pada golongan yang berhujah bahawa tarian ini adalah haram,mungkin adalah disebabkan oleh beberapa perkara (dari pandangan saya, jika saya salah, mohon perbetulkan). Antaranya ialah, seperti yang kita perbincangkan iaitu asal usul tarian ini yang dikatakan menyerupai ajaran Kristian. Di samping itu juga, tarian ini yang dihasilkan dari beberapa jenis pergerakan yang seakan-akan menyamai lambang atau simbol agama lain.

Gambar Hiasan
Selain itu, saya juga melihat kepada perkara berkaitan ikhtilat (batasan pergaulan antara lelaki dan wanita). Saya sering melihat, apabila dijalankan aktiviti ini, soal ikhtilat sering diabaikan. Berlaku percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya. Dan sesuatu yang perlu lebih diberi perhatian ialah, lengggok pergerakan tarian ini yang sememangnya agak kurang sesuai bagi kaum hawa.

Dan pada pengamal tarian ini, mereka mungkin menyatakan keharusan tarian ini untuk dijadikan rutin senaman kerana ianya mudah dilakukan dan tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk bergerak. Selain itu, mungkin juga soal kos yang dilihat, yang tidak memerlukan kos yang banyak untuk bersenam. Soal keseronokan juga dapat dirasai apabila melakukan tarian ini kerana ianya diiringi alunan muzik dan lagu yang menarik.


HILANGKAN RASA SYAK 

Bagi saya, tidak salah untuk terus melakukan tarian ini, yang penting niat itu perlulah selari dengan amalan kita. Namun, kita tidak boleh terus menerima tarian ini sebagai satu-satunya cara untuk bersenam kerana pelbagai lagi cara dan kaedah yang boleh dilakukan untuk bersenam.

Kita harus melihat perkara ini dari pelbagai aspek. Sebagai contoh, kenapa timbulnya isu ini jika tiada masalah padanya? Pada saya, sememangnya isu ini akan membawa masalah kepada masyarakat, ditambah pula apabila alim ulama’ kita yang telah mengetengahkan isu ini untuk diperhati dan difikirkan oleh kita semua.

Gambar Hiasan
Oleh sebab itu, tidak perlulah kita mengambil sesuatu yang tiada kepastian padanya. Apabila kita mengetahui akan kekhilafan dalam tarian ini, maka sebaiknya kita menghilangkan rasa syak dan kurang selesa kita ini dengan tidak terus beramal dengannya. Akan tetapi kita mencari alternatif lain untuk bersenam, yang kemungkinan padanya mempunyai lebih manfaat dan kebaikan pada diri kita.

Wallahua’alam. Sekadar Perkongsian.
maktabah-ilmu.blogspot.com



 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...