03 March 2011

Soalnya Pada Jodoh



SOALNYA PADA JODOH
[Cinta Dan Keluarga]
maktabah-ilmu.blogspot.com


Ramai di kalangan kita yang lewat bertemu jodoh. Ada kalanya sudah lanjut usianya, namun masih belum berjumpa calon yang sesuai di hati. Kadang sampai umur 30-an pun, masih setia membujang. Alasannya, belum ada jodoh, seru tak sampai lagi. Namun, adakah segala alasan yang diberikan mampu mengukuhkan jawapan kepada persoalan ini? Jawapannya adalah, semua terpulang pada diri kita sendiri.


Gambar Hiasan
Ada sesetengah orang yang sampai bermandi bunga, bermacam jenis bunga sudah dicuba. Ditambah denga mandian wap, bersama wangian menambah pesona. Namun kadang kala dilihat sebagai sia-sia belaka. “Saya sudah usaha banyak kali dah ustaz, saya dah kerap sangat berjumpa orang itu, orang ini, niatnya untuk menilai, adakah si dia layak untuk dijadikan teman hidup saya, tapi semuanya hampa ustaz.” Itulah antara keluhan segelintir antara kita. Namun, adakah kita sendiri pernah menilai diri kita dahulu sebelum menilai diri orang lain untuk diri kita?


TAKDIR UNTUK JODOH

Setiap perkara yang akan, sedang mahupun telah berlaku, telah pun ditetapkan oleh Allah SWT. Dan setiap ketetapan ini adalah suatu yang terbaik untuk diri kita. “Ustaz, saya dah usaha jadi yang terbaik tuk orang lain, tapi kenapa orang lain tidak pernah menghargai saya?”. Ada yang lain pula mengatakan, “Ustaz, kenapa si dia tidak mahu terima saya sedangkan saya sudah menunjukkan minat saya padanya? Apakah saya masih belum sempurna untuknya?”. Mungkinkah ada lain lagi persoalan yang menjengah diri kita.

Tapi, apakah kita sedar, setiap yang berlaku, telah ditentukan terlebih dahulu oleh Allah. Rezekinya, jodohnya, hidup matinya, nasibnya di akhirat, semuanya telah tertulis baginya. “Maknanya, macam tidak adil aje ustaz, sebab semua sudah ditentukan, kalau macam tu, lebih baik terima saja apa yang berlaku.” Hah, apa jawapan yang boleh kita beri? 

Mungkin jawapan yang boleh diberikan ialah ikhtiar. Ya, mungkin, ikhtiar. 


JODOH DICARI ATAU DITUNGGU?

Pada waktu dulu, mungkin jawapan jodoh hanya ditunggu dapat diterima, tapi kini jawapan tersebut agak tidak sesuai. Kenapa? Kerana, dulu orang perempuan hanya duduk di rumah, tidak ramai yang terdedah kepada keadaan luar. Maka, jodoh mereka adakalanya diatur oleh ahli keluarga, termasuk juga bagi lelaki.

Tapi bagi kini, jodoh perlu dicari. Perlu usaha untuk mencari. Agak sukar untuk datang sendiri, tapi tidak mustahil. Situasi kini amat berbeza dengan dahulunya. Kini, tidak kira lelaki mahupun wanita, lebih terdedah kepada aktiviti luar, sosial dan sebagainya. Dibantu dengan suasana jalur lebar yang meluas, facebook, blog, YM dan sebagainya, lebih mendorong untuk bersosial. Oleh itu, aktiviti dan kemampuan mencari jodoh menjadi lebih maju.

Namun, walau dunia telah berubah, walau kemajuan telah menjengah, tapi masih terdapat di kalangan kita yang sukar atau lambat untuk mendapat jodoh yang telah disediakan Allah melalui ketetapanNya.

Gambar Hiasan


SEBAB JODOH BELUM SAMPAI 


1. Benar-Benar Belum Bersedia

Ramai yang ketika ini, sudah mempunyai calon suami atau isteri, namun disebabkan beberapa perkara, alasan belum bersedia diberikan kerana hakikatnya, belum benar-benar bersedia untuk menjadi suami dan isteri yang baik.

Mungkin sebab utama belum bersedia adalah dari aspek ekonomi. Benar, ekonomi kena kukuh, poket kena penuh, baru boleh nak mendirikan rumah tangga. Orang-orang tua selalu berpesan, kalau nak ambil anak dara orang, kena ada keja tetap, ada duit sendiri. Pendek kata, rumus 3 kunci untuk bernikah memang penting, iaitu kunci rumah, kunci kereta dan kunci pejabat.


2. Doa Belum Dimakbulkan

Semestinya setiap apa yang dihajatkan, hendaklah kita memohon kepada Allah dengan setulus hati. Namun, adakalanya Allah tidak memakbulkan permintaan kita dengan segera. Dalam soal jodoh juga tidak terkecuali. Mungkin ada yang telah menemui jodoh setelah 10 tahun berterusan memohon kepada Allah bagi mendapatkan jodoh yang sesuai. Memang lama, 10 tahun. Namun adakah ianya tanda Allah kurang kasihkan kita? Tentulah tidak.

Sebaiknya, mungkin ianya berpunca dari diri kita sendiri. Mungkin puncanya ialah hati yang memohon masih kotor, atau rezeki masih belum berkat, solat belum sempurna, harta tidak bersih dan sebagainya.


3. Tiada Daya Penarik Pada Diri

Jika dilihat pada aspek luaran, keterampilan, cara berpakaian, cara pergaulan dan sebagainya amat mempengaruhi masa sampainya jodoh. Jika penampilan tidak dijaga, diri tidak terurus, apakah jodoh yang dicari segera akan muncul? Agak sukar bukan?

Lelaki yang baik, untuk perempuan yang baik. Itulah prinsip yang perlu ada pada setiap insan yang mendambakan jodoh segera tiba. Diri sendiri terlebih dulu perlu menjadi baik, baru insan baik yang diharapkan, segera datang dengan izin Allah. Tidak perlu mengharap pada kesempurnaan kerana diri sendiri juga tidak mungkin mencapai kesempurnaan seperti yang diimpikan pada orang lain.


4. Ibu Bapa Belum Restu Sepenuhnya

Restu ibu bapa amat penting dalam mendirikan rumah tangga buat anak-anaknya. Apabila tiada restu ibu bapa, selalunya rumah tangga si anak akan porak peranda. Oleh itu, jika ingin mencari jodoh, perlu diawali dengan memohon restu ibu bapa untuk berumah tangga.

Kadang kala, ibu bapa masih belum merestui untuk melepaskan anaknya. Mungkin si anak merupakan anak yang sulung, yang mungkin mempunyai tanggungjawab terhadap adik-adiknya yang lebih utama. Oleh kerana itu, ibu bapa tersebut belum redha jika anaknya sudah berumah tangga kelak.

Percayalah, kebarangkalian mendapat jodoh yang baik untuk kita juga adalah disebabkan redhanya dan restunya kedua orang tua untuk melepaskan kita nanti.


5. Usaha Belum Sempurna

Inilah perkara yang merangkumi semua persoalan di atas. Usaha belum sempurna. Ini termasuklah usaha untuk benar-benar bersedia, usaha untuk mendapatkan restu kedua orang tua, usaha untuk mengubah personaliti diri dan usaha untuk melebihkan amal ibadah, berdoa kepada Allah, adalah belum sempurna.

Ada yang telah lama berdoa, berikhtiar dengan mandi bunga, berdaftar dalam syarikat mencari jodoh, hanya semata-mata untuk mendapatkan jodoh yang baik. Namun masih belum diberikan ganjaran atas segala usaha tersebut.

Ingatlah, mungkin usaha yang kita buat belum mencapai standard yang ditetapkan. Mungkin Allah mengkehendaki usaha kita sebanyak 100 kali, tapi kita hanya berusaha sebanyak 99 kali, jadi bagaimana Allah hendak memberikan ganjaran tersebut jika belum mencapai tahap yang ditetapkan.


Gambar Hiasan

Ikhlaskanlah niat untuk berumah tangga, demi Allah dan RasulNya. Soal jodoh, usah terlalu dirisaukan, suatu masa, saat itu pasti akan tiba, yang kadang kalanya ia tidak dijemput. Apa yang penting, jangan kita patah semangat untuk terus mencuba dan berusaha. Jangan patah hati di tengah jalan. Perjuangan perlu diteruskan, iaitu perjuangan untuk mencari jodoh yang terbaik. Semoga Allah merahmati kita semua.

Semoga bermanfaat. Sekadar perkongsian. Waallahu'alam...

maktabah-ilmu.blogspot.com


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...