SALAHKAH AKAD NIKAH DI MASJID?
[Isu Semasa]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan suatu kenyataan seorang aggota Ahli Majlis Fatwa Perlis berhubung akad nikah di masjid yang dikatakan menyerupai amalan agama Kristian dan Yahudi. Maka, ramailah yang tertanya-tanya, betulkah kenyataan ini? Adakah dalil-dalil sahih yang menyokong kenyataan ini? Sehinggakan perkara ini telah menimbulkan kekeliruan pada pelbagai pihak.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Bagi saya, ada hikmahnya juga kenyataan ini dikeluarkan oleh seorang yang berautoriti, kerana orang ramai akan kembali mengambil berat akan hal-hal sebegini yang sememangnya telah menjadi adat untuk pasangan yang hendak bernikah. Jika isu ini tidak timbul, orang ramai pasti tidak akan mengambil endah akan perkara ini. Oleh kerana itu, maka ramailah orang yang berusaha mencari jawapan pada persoalan ini.
ISU REMEH?
Ada sesetengah yang menganggap isu ini adalah perkara remeh yang tidak perlu untuk diambil peduli. Benarkah begitu? Adakah kerana akad nikah yang dilaksanakan di masjid, telah menjadi adat kebiasaan, maka kita tidak perlu lagi mengambil berat akan halnya? Bagi saya, itu ada kenyataan yang tidak tepat.
Sepatutnya, walaupun isu ini dianggap biasa, namun kita tidak boleh lepas pandang. Kita perlu melihatnya dari sudut hukum dan fiqh semasa, apakah ia bertepatan dengan amalan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW? Kerana, apabila kita mengamalkan apa yang tidak diajarkan oleh nabi, amalan itu hanya sia-sia belaka.
Ingatlah bahawa setiap khilaf di kalangan ulama’ ada hikmahnya. Di samping hikmah merujuk kepada kebaikan dari larangan Allah dan RasulNya atas setiap perkara, kita juga perlu melihat kepentingannya dari sudut yang lebih luas, iaitu maslahah kepada umum.
Apabila munculnya suatu kenyataan baru yang kadang kala boleh mengelirukan masyarakat oleh kerana kurangnya ilmu pengetahuan, maka di situ kita dapat melihat, orang ramai akan lebih berusaha menjadi jalan penyelesaiannya sendiri. Pelbagai wadah yang boleh diperoleh ilmu pengetahuan mampu dicapai. Dengan ini,masyarakat secara tidak langsung akan lebih peka dan sensitif kepada isu-isu berkaitan agama termasuklah isu ini.
SALAHKAH AKAD NIKAH DI MASJID?
Sebelum saya membawakan dalil berkaitan akad nikah di masjid, saya ingin bawakan sebuah hadis nabi yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi, bahawa Rasulullah telah bersabda,
“Masjid dibina (dibangun) untuk zikrullah, solat, majlis ilmu, membincangkan kebaikan dan sejenisnya.” – Riwayat Muslim, an-Nasa’I dan Ibn Majah
Sebuah hadis lain yang dinyatakan oleh Abdullah Maula Syaddad bin al-Hadi, beliau telah mendengar Abu Hurairah berkata, telah bersabda Rasulullah SAW,
“Siapa pernah mendengar seorang lelaki mencari barangnya yang hilang di masjid, maka Baginda terus bersabda, “Semoga Allah tidak mengembalikan kepadanya. Sesungguhnya masjid tidak dibangun untuk itu.” – Syarah Sahih Muslim.
Berdasarkan dua dalil di atas, jelas tujuan masjid didirikan dengan tujuannya yang khusus, bukan semua urusan agama boleh dilakukan di masjid. Dan ada sesetengah golongan yang mengharuskan akad nikah dijalankan di masjid dengan mengambil sebuah hadis ini sebagai hujah, iaitu;
Dari ‘Aisyah ra, beliau berkata, telah bersabda Rasulullah, “Umumkanlah (sebarkanlah) pernikahan ini dan lakukannya di masjid serta tabuhkanlah rebana.” – Riwayat at-Tirmizi dan Baihaqi
Penerangan: Hadis ini adalah hadis yang lemah (dhoif), kerana dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang lemah iaitu ‘Isa bin Maimun al-Anshori, yang dipandang sebagai seorang yang lemah (dhoif).
Hadis ini juga didhoifkan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits adh-Dho’ifah dengan alasan yang sama, lalu beliau mengatakan, “Adapun Tirmidzi menghasankan hadis ini, maka apabila dilihat dari potongan pertama dari hadis (tentang perintah mengumumkan pernikahan), sememangnya ada penguatnya dari jalan Abdullah bin Zubair, oleh kerana itu Imam Tirmidzi menuliskan hadis ini dalam Sunannya pada bab ‘Mengumumkan Pernikahan’, adapun potongan hadis setelahnya, maka aku (Albani) tidak menjumpai penguatnya, oleh kerana itu hadis ini hukumnya mungkar.”
![]() |
| Gambar Hiasan |
APA TINDAKAN KITA?
Di sini bukan niat saya untuk menyatakan atau memberikan sebarang hukum, namun saya ingin membuka sedikit minda kita akan khilaf ini. Sungguh tiada dalil khusus yang menyatakan keharaman mahupun kewajipan melakukan akad nikah di masjid kerana sepanjang pencarian saya, tiada satu pun dalil dari Rasulullah yang menyatakan kewajipan melakukan demikian. Meskipun ada hadis yang seperti dinyatakan di atas, namun ianya tidak boleh diterima sebagai hujah yang kukuh.
Mungkin masyarakat boleh mengatakan, kenapa perlu sesempit ini? Kenapa perlu seteliti ini sedangkan perkara ini telah lama diamalkan dalam masyarakat? Jawapan yang boleh saya berikan ialah, yang penting ialah ibadah yang mengikut syariat, bukan ibadah yang menuruti adat .
Terpulang pada diri kita sama ada ingin terus terima bulat-bulat mahupun mencari sendiri jawapannya dengan lebih terperinci. Namun apa yang boleh saya katakan, ilmu Allah ini begitu luas, terpulang pada kita untuk mencarinya dengan menggunakan apapun cara dan kaedah, yang semestinya perlu berpandu pada al-Quran dan Sunnah.
Tiada salah untuk melakukan akad nikah di masjid, mudah-mudahan di situ ada barakahnya. Namun perlulah diteliti pada peringatan-peringatan berikut yang kemungkinan kita tidak menyedari, kita sendiri telah melakukan ‘dosa kering’yang boleh mencemarkan kesucian masjid ;
1. Pelihara aurat sama ada lelaki atau perempuan serta batasi pergaulan antara keduanya.
2. Sebaiknya, apabila masuk ke masjid, niat iktikaf bersolat tahiyatul masjid terlebih dahulu.
3. Jangan merokok di dalam masjid termasuk di sekitar kawasan masjid.
4. Wanita yang berhadas besar (contohnya haid) tidak boleh memasuki masjid.
5. Menjaga adab dan akhlak dengan tidak bercakap perkara sia-sia atau bergelak ketawa di masjid.
Seperkara yang saya lihat dalam masyarakat kita ialah, ketika upacara pembatalan air sembahyang. Sebaik diakad nikah, pasangan selalunya melakukan acara pembatalan air sembahyang dengan suami mengucup dahi isterinya. Di tambah pula, suami isteri tersebut terus bersalaman tidak kira mahramnya atau tidak, kerana dikuatiri orang-orang yang hadir ke majlis itu belum diketahui statusnya.
Oleh itu, pada saya, sebaiknya kita mengambil jalan yang lebih mudah iaitu melakukan akad hanya di rumah. Ianya lebih mudah bahkan juga lebih menjimatkan perbelanjaan perjalanan ke masjid. Boleh juga saudara mara lain turut serta dalam majlis akad nikah, tanpa perlu bersusah payah mencari kenderaan untuk konvoi ke masjid.
Ingatlah, kekuatan dan keutuhan rumah tangga yang dibina, bukan bergantung pada di mananya akad nikah itu dilakukan, tetapi ianya bergantung pada kekuatan dan keberkesanan iman di hati suami dan isteri. Mudah-mudahan kita mendapat taufiq dan hidayah dari Allah SWT.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Ingatlah, kekuatan dan keutuhan rumah tangga yang dibina, bukan bergantung pada di mananya akad nikah itu dilakukan, tetapi ianya bergantung pada kekuatan dan keberkesanan iman di hati suami dan isteri. Mudah-mudahan kita mendapat taufiq dan hidayah dari Allah SWT.
Wallahua’alam. Sekadar perkongsian.
maktabah-ilmu.blogspot.com



No comments:
Post a Comment