ADAKAH IMAM AL-SYAFIE ADALAH WAHABI?
[Bicara Agama]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Melihat kepada tajuk artikel ini, mungkin ada sesetengah orang akan terkeliru atau runsing, adakah mazhab al-Syafie yang diikuti oleh umat Islam di Malaysia ini ada isu-isu yang bermasalah. Di Malaysia, pada sesetengah orang yang menganggap diri mereka pembela Ahlus Sunnah Wal Jamaah bahkan penganut mazhab Syafie amat menentang budaya talfiq daripada pelbagai mazhab. Bagi mereka, orang yang mengamalkan pelbagai mazhab ini adalah termasuk dalam kelompok Wahabi.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Tetapi, apabila diselidiki, Imam al-Syafie sendiri tidak pernah menyuruh sesiapa pun untuk mengikuti pandangan beliau sepenuhnya. Bahkan Imam al-Syafie menganjurkan anak murid dan pengikutnya untuk menimbang pandangannya berdasarkan al-Quran dan Sunnah sebelum menerimanya. Menurut riwayat al-Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafie, Ibn Asakir, al-Nawawi di dalam al-Majmu’, al-Fullani, Ibn al-Qayyim, Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah dan Ibn Hibban di dalam sahihnya, Imam al-Syafie menyatakan: “Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah dan tinggalkanlah pendapatku itu.” Beliau juga pernah berkata:
“Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasulullah menurut kalangan ahli hadis tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya (meninggalkannya) sama ada ketika aku masih hidup atau selepas kematianku”.
LAFAZ NIAT KETIKA SOLAT
Melafazkan niat ‘Usolli’ ketika mengerjakan solat fardhu mahupun sunat merupakan cirri-ciri yang penting untuk menjamin seseorang itu sah bermazhab Syafie. Jika ada yang berpegang dengan pendapat tidak perlu berniat ‘Usolli’ ketika solat, maka golongan inilah yang akan dilabel bukan ‘pure’ Syafie. Tapi, apabila kita buka kitab al-Umm maka tidak wujud satu patah atau satu baris pun yang mengajar kita lafaz niat ‘Usolli’ mahupun Nawaitu.
Bagi Imam al-Syafie, niat itu adalah perbuatan di dalam hati dan solat itu dimulakan dengan lafaz takbir. Di dalam al-Umm beliau berkata:
“Siapa yang pandai membaca takbir, nescaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahuakbar.”
ZIKIR SELEPAS SOLAT
Jika selepas solat pula, tidak diamalkan zikir beramai-ramai dengan suara yang kuat, pengamalnya akan terus dicop sebagai pengikut ajaran Wahabi yang dianggap oleh sesetengah pihak tidak termasuk dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita buka sekali lagi Kitab al-Umm, Imam al-Syafie menyatakan:
“Saya (Imam al-Syafie) memandang baik bagi Imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikit kecuali bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya. Allah telah berfirman, “… dan janganlah engkau menyaringkan bacaan dia engkau atau solatmu, juga janganlah engkau perlahankannya… “ (al-Isra’ (17) :110) iaitu Allah sahaja yang Maha Mengetahui ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri.”
Imam al-Baihaqi memperjelaskan isu ini dalam kitabnya Sunan al-Kubra:
“Bahawa zikir dan dia sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir dan doa itu kepada manusia, maka dikuarkan (secara jahr) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa itu, harus diperlahankan (secara sirr semula)”.
MENGIRIM PAHALA KEPADA ARWAH
Orang yang mengkritik amalan mengirim bacaan pahala kepada arwah seperti tahlil atau membaca al-Quran di tepi kubur akan dihambur dengan pelbagai tuduhan dan celaan. Tuduhan dan celaan ini pastilah dituduh sebagai Wahabi. Namun, mari kita lihat, Imam al-Nawawi di dalam Syarah Muslim telah menjelaskan:
“Adapun bacaan al-Quran (yang pahalanya dikirim kepada si mati) maka yang masyur di dalam mazhab al-Syafie tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim, sedang dalilnya bagi Imam al-Syafie dan pengikutnya berdasarkan firman Allah: “… bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan (balasan) atas apa yang diusahakannya” (al-Najm (53):39) dan sabda Nabi SAW: “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki dan perempuan) yang berdoa untuknya”. (Hadis riwayat Imam at Tirmizi)
Bagi mereka yang tidak mahu mengerjakan kenduri arwah bukan sahaj dianggap menderhaka kepada mazhab Syafie bahkan adakalanya mereka dicerca sebagai golongan bakhil. Beginilah sikap mereka yang mengaku memperjuangkan mazhab Syafie di Malaysia, sudahlah keluarga arwah sedang bersedih, dipaksa pula untuk menyediakan jamuan makan. Adakah ini benar-benar pandangan al-Syafie?
Di dalam kitab I’anatu al-Talibin ada menyebut hal ini menurut mazhab Syafie:
“Apa yang telah menjadi kebiasaan menusia menjemput orang menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si mati adalah bid’ah yang dibenci, termasuklah di dalam hal berkumpul beramai-ramai di rumah si mati kerana hadis sahih dari Jabir bin Abdullah berkata: “Kami menganggap berkumpul beramai-ramai di rumah si mati dan menyediakan makanan sebagai ratapan.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)
Masyarakat di sekeliling sepatutnya membantu dalam menggembirakan keluarga arwah dengan membawa makanan kepada mereka. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali di dalam al-Wajiz fi Fiqhi al-Imam al-Syafie telah berkata:
“Disukai membuat makanan untuk keluarga si mati”.
![]() |
| Gambar Hiasan |
BUDAYA TALQIN DALAM MASYARAKAT
Sekiranya ketika urusan pengkebumian jenazah tidak dilakukan amalan talqin, pasti ia akan menjadi topic bualan yang hangat di sesebuah kampung kerana ia dianggap telah mencemarkan tradisi orang Melayu yang berteraskan mazhab Syafie. Tapi pada hakikatnya amalan talqin ini tidak pernah tertulis di dalam mana-mana kitab Imam al-Syafie itu. Hanya sahaja ulama bermazhab Syafie yang kemudian menganggap ia sunat.
Dr Muhammad A. W. al-‘Aqil di dalam kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafie telah berkata:
“Mengenai talqin, yang popular di kalangan masyarakat yang dilakukan setelah penguburan mayat, di mana salah seorang berdiri di sampingnya untuk mengajari mayat dengan lafaz berikut: “Hai Fulan bin Fulan, ingatlah kalimah yang engkau pegang sampai masuk ke kubur, iaitu bersaksi bahawa tidak ada ‘illah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah…” dan seterusnya, atau lafaz lain yang semakna, maka kami tidak mendapatkan keterangan dari Imam al-Syafie tentang masalah ini. Kami hanya mendapatkannya dari ulama mutaakhkhirin (yang datang kemudian) dari para pengikut mazhab Imam al-Syafie”.
AZAN SOLAT JUMAAT
Sebenarnya mereka yang mengaku bermazhab Syafie di Malaysia telah melanggar tatacara solat yang diajarkan oleh Imam al-Syafie. Buktinya, Imam al-Syafie telah menjelaskan di dalam Kitab al-Umm:
“Dan aku lebih suka agar azan pada hari Jumaat diketika imam masuk masjid dan duduk di atas suatu tempat yang dia ingin berkhutbah di atasnya, seperti di atas kayu, pelepah atau di atas lantai. Setelah imam berada dalam keadaan di atas mimbar, maka muazin memulakan azan, setelah selesai azan imam terus berdiri menyampaikan khutbahnya. Tidak ada penambahan di atas yang demikian.”
Imam al-Syafie menambah:
“Walau bagaimanapun antara dua pendapat (Uthman atau Mu’awiyah), maka yang berlaku di zaman Rasulullah azan pertama (azan sekali) adalah yang lebih aku sukai.” (al-Umm). Maka Imam al-Syafie memberi kesimpulan tentang azan Jumaat: “Maka lebih utama ditinggalkan (azan dua kali).” (kitab al-Haawi al-Kabir)
Al-Mawardi pula menyatakan berkenaan azan Jumaat: “Dari Ibnu Abbas r.a bahawa beliau pergi ke masjid untuk solat Jumaat, maka setelah tergelincir matahari ‘Umar al-Khattab terus keluar ke masjid, beliau terus duduk di atas mimbar dan muazin (tukang azan) terus mengumandangkan azannya. Selesai azan, ‘Umar al-Khattab terus bankit berkhutbah dengan memuji Allah”.
Imam al-Syafie tidak pernah mendirikan solat dua rakaat qabliyah Jumaah, tetapi rata-rata di Malaysia penganut mazhab Syafie melanggar fatwa Imam al-Syafie dan mengingkari fatwa para ulama besar yang bermazhab al-Syafie.
![]() |
| Gambar Hiasan |
PENUTUP
Cukuplah dengan beberapa contoh yang diperkatakan bukan bertujuan untuk mengelirukan sesiapa. Tapi ia sekadar untuk mengingatkan kepada kita semua agar mengkaji dan meneliti terlebih dahulu perbezaan pendapat yang wujud di kalangan mazhab dalam Islam sebelum membuat tuduhan seseorang terkeluar dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah, semata-mata kerana tidak berpegang kepada mazhab Syafie. Sebuah nasihat yang diriwayatkan daripada Uthman bin Atha’ daripada bapanya, dia berkata:
“Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum dia mengetahui ikhtilaf yang terjadi di kalangan manusia (ulama), kerana jika dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah dari ilmu yang dia yakini.”
Sekadar Perkongsian. Wallahua'alam.
maktabah-ilmu.blogspot.com



No comments:
Post a Comment