13 February 2011

Kejatuhan Mubarak: Bukti Kuasa Rakyat



KEJATUHAN MUBARAK: BUKTI KUASA RAKYAT
[Isu Semasa]
maktabah-ilmu.blogspot.com

Setelah berkuasa lebih 30 tahun di bumi Mesir, pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak akhirnya jatuh akibat desakan dan tuntutan rakyatnya agar beliau meletakkan jawatan. Pendirian teguh rakyatnya untuk berkumpul dan bersatu selama 18 hari, membuahkan kejayaan yang diingini. Tanggal 12 Februari 2011 menjadi tarikh bersejarah bagi warga Mesir dan kita sendiri secara tidak langsung.



 Hosni Mubarak, nama yang sentiasa menjadi igauan rakyat Mesir, sebagai seorang pemimpin diktator yang mempunyai hubungan dengan negara-negara musuh Islam terutamanya Israel. Ketika rakyatnya berdegil mahukan Hosni Mubarak turun takhta, beliau tetap berkeras untuk terus menerajui negara. Inilah sikap mementingkan diri yang sentiasa menjadikan kemarahan rakyat meluap-luap dan semangat untuk terus berjuang terus meningkat.


SIAPAKAH HOSNI MUBARAK?

Sebelum ini, saya sendiri kurang berminat untuk mengetahui siapakah insan bernama Hosni Mubarak ini. Namun, setelah timbul rusuhan dan kekacauan di Mesir yang melibatkan nama ini, saya trasa terpanggil untuk mengetahui dan berkongsi, siapakah sebenarnya Hosni Mubarak dan kenapakah rakyatnya begitu mahukan beliau meletakkan jawatan.

Nama penuh beliau, Muhammad Hosni Sayid Sayid Ibrahim Mubarak, dilahirkan di Kafr-El-Meselha, Mesir pada 4 Mei 1928 (sekarang telah berusia 83 tahun). Beliau pernah menjadi  tentera di Angkatan Tentera Mesir dan berjaya menjawat jawatan tertinggi pada 1972 menjadi Komander Tentera Udara. 

Beliau diangkat menjadi Presiden Mesir yang ke-3 pada 1981 setelah Presiden, Anwar al-Sadat dibunuh pada 6 Oktober 1981 oleh kelompok radikal Islam. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) dan memegang tampuk kepimpinan paling lama iaitu selama 30 tahun.

Menurut BBC, Hosni Mubarak terselamat dalam 6 cubaan bunuh. Pada jun 1995, cubaan bunuh melibatkan Al-Gama’ al-Islamiyya (Islamic Group) dan Jihad Islam Mesir. Setelah kegagalan dalam cubaan tersebut, Hosni Mubarak telah menahan ahli-ahli al-Gama’ al-Islamiyya pada 1999 kerana kesalahan mahu melancarkan revolusi pertubuhan Islam.




SIKAP HOSNI MUBARAK

Hosni Mubarak dikatakan seorang Presiden yang hanya mementingkan diri sendiri serta angkuh. Banyak berita tersebar di Mesir yang menyatakan Hosni Mubarak telah menyediakan anaknya Gamal yang berusia 47 tahun sebagai penggantinya, namun beliau menafikan khabar tersebut. Beliau dan anaknya juga terlibat dalam rasuah membabitkan perolehan tender kerajaan dan swasta. Indeks rasuah di Mesir juga antara yang tertinggi rasuah iaitu di tempat ke-115 daripada 180 negara yang tinggi rasuah.

Hosni Mubarak juga telah membebaskan Paus Shenouda III Alexandria, Paus Gereja Ortodoks Koptik Alexandria yang telah dibuang oleh Anwar Sadat di zaman pemerintahannya. Beliau juga telah ke Kaherah untuk merayakan Krismas, 7 Januari Liturgy (mengikut Kalendar Lama) dan telah disambut oleh 10,000 penganut Kristian. Mereka diberikan cuti pada 7 Januari dan telah diisytiharkan cuti kebangsaan pada 2002.



MUBARAK DAN KAITAN DENGAN ISRAEL, AS

Mungkin umum telah mengetahui hubungan akrab antara Hosni Mubarak dan dua negara musuh Islam, Israel dan AS. Perdana Menteri Israel sendiri telah menyatakan kebimbangannya terhadap situasi yang dilanda Mubarak, rakan baik Israel di timur tengah. Ini dibuktikan lagi dengan keakraban Hosni Mubarak yang telah bersama-sama Israel di Palestin untuk menghalang kebangkitan Islam di sana, yang dipimpin oleh Hamas.

Antaranya ialah, Hosni Mubarak sendiri membantu tindakan zalim Rejim Zionis mengenakan kepungan dan sekatan ekonomi terhadap rakyat Palestin di sempadan Gaza selama lebih tiga tahun dengan menutup pintu sempadan Mesir-Gaza di Rafah, yang merupakan satu-satunya pintu masuk ke Gaza melalui Mesir.

Keadaan ini disokong sepenuhnya oleh AS dengan menyalurkan berjuta-juta USD kepada Mesir setiap tahun semata-mata ingin melihat Hosni Mubarak terus berkuasa di Mesir dan secara tak langsung, menyokong negara haram Israel.





PEMIMPIN YANG DIBENCI RAKYAT

Oleh kerana sikapnya yang keras terhadap nasib rakyat, ditambah dengan isu-isu negatif yang dikaitkan dengannya, sememangnya patut untuk rakyat Mesir bangun menentang pemerintah sebegini. Setelah 30 tahun berlalu tanpa ada sebarang perubahan mahupun kejayaan yang diingini rakyat, yang ada hanyalah harta-harta rakyat yang dikumpulnya untuk diri sendiri, ahli keluarga dan kroni-kroninya sahaja.

Sewaktu pemerintahannya, sistem demokrasi langsung tidak dipedulikan, bahkan terus memerintah Mesir dengan kekejaman dan kezaliman selama 30 tahun. Hak asasi manusia langsung tiada dalam kamus pemerintahan beliau. Sehinggakan sanggup memenjarakan bahkan membunuh sesiapa sahaja yang cuba menentang kerajaan.

Hosni Mubarak, semestinya dibenci rakyat, yang telah dipendam sejak sekian lama, kini telah tertahan lagi. Selama 18 hari mereka berarak, di bawah satu perjuangan yang sama, tanpa mengira latar belakang politik, ekonomi mahupun tingkat usia, yang hanya mereka mahukan, HOSNI MUBARAK BERUNDUR!!!






HANYA MENGHARAP KEDAMAIAN 

Syukur kepada Allah SWT, segala doa dan usaha rakyat yang dizalimi, telah dikabulkan, Hosni Mubarak telah menyatakan pengundurannya. Tahniah buat anda pejuang keadilan. Semangat anda serta perjuangan anda, akan sentiasa di jiwa-jiwa sahabat seagama anda di seluruh ceruk dunia. 

Memetik kata-kata Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, “Kami berharap dengan perkembangan terkini ini, ia boleh mengembalikan semula keamanan dan kestabilan dengan kerajaan Mesir kembali berfungsi. Kami juga berharap buka saja kerajaan tetapi parti pembangkang menunjukkan keikhlasan untuk menstabilkan keadaan.” Dan itulah juga harapan kita semua, hanya inginkan kedamaian dan keamanan sejagat. Dengan izin Allah.




“Saya bertabik dengan tindakan rakyat Mesir dan keberanian mereka. Ini adalah hari kejayaan bagi rakyat Mesir. Matlamat utama revolusi telah dicapai,” - Mohamed el-Katatni, bekas pemimpin blok parlimen Ikhwanul Muslimin.

Wallahua’lam. Sekadar Perkongsian.
maktabah-ilmu.blogspot.com



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...