WANITA: ANTARA FITNAH DAN INDAH
[Ruangan Hawa]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Wanita, dalam erti kata lain, perempuan atau kaum Hawa, adalah membawa maksud yang sama, iaitu seseorang yang menjadi pendamping di sisi lelaki, kaum Adam untuk sama-sama mengharungi kehidupan duniawi. Wanita menjadi begitu indah tatkala kelebihan serta keistimewaan kurniaan Yang Esa padanya, digunakan sebaik-baiknya. Namun, wanita juga boleh menjadi suatu fitnah yang dahsyat apabila semua anugerah yang diberikan, disalah guna, lebih-lebih lagi dalam menjadikan diri sendiri, sebagai yang terhebat dan paling sempurna.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Dapat dilihat, kini, peranan wanita begitu besar, begitu memberi kesan kepada tamadun manusia dan sejarahnya. Bermula dari kisah Nabi Adam dan Hawa di dalam syurga, sehingga berjaya ditipu daya oleh syaitan, dan Allah telah mengeluarkan mereka dari syurga, sebagaimana yang telah dikisahkan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 35 hingga 36 bermaksud,
“Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Menetaplah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”
Ini memberi erti, bahawa wanita amat memainkan peranan penting dalam memberi pengaruh kepada kaum lelaki dalam membuat sesuatu keputusan, tidak kiralah sama ada keputusan tersebut baik mahupun tidak. Wanita mampu untuk merubah keputusan lelaki dalam sesetangah situasi. Jikalau Hawa menasihati Adam untuk tidak melanggar perintah Allah, mungkin anak-anak Adam kini masih di sana.
Namun, semuanya sudah ketentuanNya. Oleh kerana itu, ada ketikanya, kerana wanita, ia membawa kepada kebaikan dan keuntungan, dan ada ketikanya juga, membawa pada keburukan dan kerugian yang amat disesali selamanya.
FITNAH WANITA
Dalam surah Yusuf ayat 28 yang bermaksud,
“Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat”.
Dijelaskan di dalam surah Yusuf, bagaimana kisahnya seorang isteri Perdana Menteri Mesir ketika zaman Nabi Yusuf, yang telah berupaya mempengaruhi suaminya agar memenjarakan Yusuf tatkala beliau gagal menawan hati Yusuf baginya. Maka, inilah suatu bentuk helah atau perancangan yang licik yang telah ditimpa ke atas Nabi Yusuf, apabila berdepan perancangan menawan hatinya, agar patuh tunduk kepada kehendak wanita tersebut, namun dengan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT, maka ia dapat mengatasi segalanya.
Sungguh, lelaki amat sukar untuk menghindarkan diri dari godaan atau pujukan kaum wanita. Lelaki amat mudah cair bila berdepan kaum Hawa. Segala yang buruk, dengan sekelip mata, mampu menjadi baik seperti malaikat. Segala yang lemah, automatik menjadi gagah perkasa apabila di depan wanita. Itulah lumrah kehidupan. Hanya insan yang mempunyai nilai taqwa berkualiti dan iman yang tinggi, mampu menghindarinya dengan cara dan kaedah terbaik.
Seperti sabda Nabi Muhammad yang bermaksud,
“Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada (fitnah) wanita, kerana sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya” (Riwayat Muslim).
Tidak hairanlah, dalam sejarah telah menceritakan pelbagai kisah, tumpasnya nilai kepimpinan si suami dalam negara, akibat nilai pekerti si isteri merangkap wanita yang mempunyai pelbagai karenah yang begitu jelek, sehingga terjerumus kepada keadaan hina dina kerana rakusnya mengejar kekayaan dunia. Semoga kita dapat terhindar dari fitnah-fitnah sebegini. Nauzubillah.
![]() |
| Gambar Hiasan |
WANITA PERHIASAN INDAH
Sungguh beruntung buat suami yang memiliki seorang pendamping yang bergelar isteri yang solehah. Doaku agar dikurniakan seorang srikandi solehah, insyaAllah. Juga amat bertuah buat anak-anak yang mempunyai mama yang tinggi nilai agamanya, yang mampu membimbing zuriat Islami menuju redha Allah SWT. Sungguh, wanita solehah amat memberi kesan mendalam terhadap perkembangan keimanan anak-anak setiap hari, dan mungkin secara tak langsung dapat membawa suaminya turut serta mencari cahaya menyuluh jalan kehidupan Islam hakiki.
Tiada perhiasan yang lebih indah di dunia berbanding indahnya keperibadian seorang wanita solehah. Sabda Nabi Muhammad bermaksud,
“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” (Riwayat Muslim).
Maka, beruntunglah pada wanita-wanita yang dapat mengejar dan mencapai taraf wanita solehah, yang mampu dicari jalannya dari pelbagai cara, dengan syarat, berlandaskan syariat Islam sebenar.
JADILAH YANG TERBAIK WAHAI MUSLIMAH
Peringatan ini bukan hanya buat muslimah semata-mata, ianya juga diri insan muslim, lelaki, kaum Adam, bagi menjadikan diri, seorang yang terbaik, di kalangan yang terbaik. Ianya bukan sukar untuk menjadi yang terbaik, namun juga bukan sukar untuk menjadi yang tercela di muka bumi ini.
Janganlah dibanggakan atas kecantikan yang dikurniakan, kerana ianya hanya sementara. Tetapi pupuklah dari hati yang tulus untuk terus memelihara kecantikan dalaman, agar bersih di dalam dan bersih di luaran. Jangan bersuka hati atas kejayaan dari kecerdikan fikiran, kerana perlu disedari, ada lagi insan yang lebih hebat fikirannya. Dan janganlah sesekali berdukacita atas kekurangan diri, kerana sebenarnya, ada lagi insan yang lebih malang nasibnya.
Maka, sentiasalah bersyukur atas apa yang ada, atas apa yang telah dikurniakan oleh Tuan Punya Dunia. Ikhlaskan hati hanya untuk agama, bangsa dan keluarga, atas nama cinta padaNya.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Wallahua’lam, sekadar perkongsian.
maktabah-ilmu.blogspot.com



No comments:
Post a Comment