MELAHIRKAN SUAMI ISTERI CEMERLANG
[Cinta Dan Keluarga]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Suami isteri yang mengurus rumahtangga mereka dengan baik merupakan suami isteri yang berjaya dalam perkahwinan. Mereka dapat menikmati kehidupan yang bahagia bersama pasangan dan ahli keluarga. Bagi membolehkan kebahagiaan yang dinikmati berkekalan, suami isteri perlu mempertingkatkan kecemerlangan serta mengatasi kelemahan diri.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Suami isteri yang cemerlang sentiasa menjaga ibadah mereka. Mereka akan memastikan perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam tidak berlaku di dalam rumahtangga mereka. Mereka juga akan melakukan perkara-perkara yang digalakkan oleh agama seperti berdoa, membaca al-Quran, berzikir dan solat berjemaah bersama ahli keluarga. Dengan itu, mereka akan menghidupkan syiar Islam di dalam rumahtangga.
Selain daripada itu, suami isteri juga hendaklah sentiasa mengamalkan akhlak baik dalam rumahtangga seperti bekerjasama, bantu membantu, hormat menghormati, menunjukkan kasih sayang dan bertimbangrasa. Begitu juga mereka hendaklah melaksana tugas dan tanggungjawab dengan ikhlas, jujur dan amanah.
MENGURUS KELEMAHAN DIRI
Setiap manusia mempunyai kelemahan, baik dari segi fizikal, kemahiran dan mengawal tingkah laku. Antara sifat negatif seseorang ialah emosional, cepat marah, cemburu yang berlebihan, enggan mengalah, cerca-mencerca, memaki hamun, bodoh, degil, lalai, malas, suka menyakiti pasangan, menghina pasangan, boros dan tamak.
Kelemahan fizikal pula seperti sakit, kurang bertenaga disebabkan keadaan fizikal dan sebagainya. Manakala kelemahan kemahiran meliputi kemahiran mengurus rumah, kemahiran komunikasi, mendengar dan lain-lain.
Tidak semua kelemahan tersebut terdapat pada diri seseorang. Oleh itu, suami atau isteri yang mengetahui kelemahan masing-masing hendaklah mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengatasi kelemahan tersebut agar rumahtangga yang dibina tidak terdedah kepada keretakan dan kehancuran. Selain itu, dengan menyedari kelemahan masing-masing akan dapat menghindarkan diri daripada memandang rendah terhadap pasangan.
![]() |
| Gambar Hiasan |
MEMPERKASA KEKUATAN DIRI
Selain mengenali kelemahan diri, seseorang itu perlu mengenali kekuatan yang ada pada dirinya. Seseorang yang memiliki sifat-sifat positif di dalam dirinya adalah individu yang baik dan berkualiti. Dalam istilah agama, sifat-sifat yang positif disebut sebagai akhlak terpuji (mahmudah). Islam sangat menggalakkan umatnya menghias diri dengan sifat-sifat ini kerana di samping mendapat pujian di kalangan manusia, individu tersebut juga mendapat pujian daripada Allah SWT.
Suami atau isteri yang ingin dikasihi dan dihormati oleh pasangan hendaklah memiliki sifat-sifat seperti berfikiran positif, memberikan sesuatu yang baik kepada pasangan, bersedia menerima dan menghargai pemberian, bersifat penyayang, rajin, suka membantu, lembut tetapi tegas, mempunyai jati diri, penyabar dan berketerampilan.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Sekadar Perkongsian... Waallahu'alam...
maktabah-ilmu.blogspot.com



No comments:
Post a Comment