RUKU' DAN PERKAITANNYA
[Bicara Solat]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Ruku’ dari segi bahasa ialah membongkok. Daripada segi syara’ ruku’ ialah membongkok belakang dan juga kepala sehingga kedua-dua tangan (atau kedua-dua telapak tangan) sampai ke lutut.
Sekurang-kurangnya ruku’ ialah membongkok sehingga kedua-dua tapak tangan mencapai kedua-dua lutut, dan yang paling sempurna ialah membongkok yang selari belakang dan tengkok, (iaitu memanjangkan belakang dan tengkok dengan membongkok sehingga menjadi sekeping kerana mengiut amalan nabi daripada Hadis Muslim. Kedua-dua betis dan paha hendaklah diluruskan dan ditegakkan. Kepala hendaklah disamakan dengan buntutnya, dan memadai memegang kedua-dua lutut dengan kedua-dua tangan.
Jari-jemari hendaklah dibuka menghala ke qiblat. Tidak meninggi atau merendahkan kepala. Bagi lelaki, hendaklah direnggangkan kedua-dua siku ke rusuknya. Seseorang yang bongkok belakangnya hendaklah tunduk lebih rendah lagi jika berupaya. Dalil yang menunjukkan ruku’ sebagai fardhu ialah berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, ruku’lah…” (Surah al-Hajj : 77)
Juga hadis tentang orang yang tidak betul sembahyangnya:
Maksudnya: “Kemudian ruku’ sehingga tetap ruku’nya.”
Juga terdapat ijma’ dan para fuqaha telah berijma’ tentang kefardhuannya. Dalil meletakkan kedua-dua tangan ke atas kedua-dua lutut adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Humaid tentang sifat solat nabi:
Maksudnya: “Aku telah melihatnya apabila baginda ruku’, kedua-dua tangannya menguasai kedua-dua lututnya, kemudian meluruskan belakangnya (membongkokkan sehingga menjadi sama rata).”
Dalil yang menunjukkan disyari’atkan merenggang jari-jemari ialah apa yan diceritakan oleh Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amru yang bermaksud:
“Dia (Abu Mas’ud bin ‘Amru) ruku’, lalu direnggangkan kedua-dua tangannya (daripada rusuknya) dan meletakkan kedua-dua tangannya di atas lutut, serta merenggangkan jari-jarinya di atas lututnya kemudian dia berkata: ‘Beginilah yang aku lihat Rasulullah mengerjakan solat’.” – Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’I, Nayl al-Awtar, Jil. 2, hlm. 243.
Dalil menunjukkan tidak meninggi atau merendahan kepala ialah kenyataan ‘Aisyah r.a yang bermaksud:
“Rasulullah apabla ruku’, Baginda tidak meninggikan kepala dan tidak merendahkannya, tetapi antara keduanya.” – Ijma’ Ulama (Hadis yang disepakati).
Dan terdapat dalam hadis Rasulullah:
Bermaksud: “Apabila Baginda ruku’, jikalau ada mangkuk air di atas belakangnya, nescaya mangkuk itu tidak bergerak.”
Ini disebabkan sama rata belakangnya ketika ruku’ (tidak melengkung).
Ulama Syafie dan Hanbali mensyaratkan ruku’ itu dilakukan tidak kerana lain, tetapi semata-mata kerana ruku’. Oleh itu, jika membongkok untuk melakukan sujud tilawah tiba-tiba dilakukan ruku’, maka perbuatan ruku’ itu tidak memadai.
Sumber: Dr. Wahbah Zuhaili, Syed Ahmad Syed Hussain (penterjemah (2005), Fiqh & Perundangan Islam, Jil.1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
maktabah-ilmu.blogspot.com


No comments:
Post a Comment