01 November 2010

Perlu Ada Matlamat Hidup



PERLU ADA MATLAMAT HIDUP
[Motivasi Diri]
maktabah-ilmu.blogspot.com

Setiap insan sentiasa inginkan kejayaan dan inginkan untuk melangkah lebih jauh dalam hidup. Namun, sebelum dapat menggapai apa yang ingin dihajati, kita perlulah mempunyai matlamat atau sasaran untuk dicapai. Orang yang tiada matlamat hidup adalah seperti hidupnya tiada wawasan. Matlamat atau wawasan yang ingin dicapai perlulah disertai dengan usaha berterusan dan tekad yang kuat bagi menyokong usaha tersebut dapat dicapai.

Kadang kala, matlamat itu hanya dalam jangka masa yang pendek, contohnya matlamat yang hanya ingin lulus dalam peperiksaan. Maka usahanya hanyalah untuk mencapai matlamat, lulus dalam peperikasaan. Dengan itu, apabila selesai peperiksaan, dan telah lulus, maka secara tidak langsung, matlamatnya telah tercapai. Apabila matlamat tersebut terlaksana, tiadalah lagi matlamat lain yang perlu dikejar.

Gambar Hiasan


Oleh itu, bagaimanakah hendak menetapkan matlamat hidup agar ianya dapat dicapai dengan cemerlang? Adakah matlamat yang ditetapkan itu menepati ciri-ciri kejayaan yang ingin dikejar? Inilah resepi-resepi utama bagi menetapkan matlamat hidup. Antaranya ialah:

1.       Buatlah matlamat yang spesefik
Nyatakan dengan jelas apa yang ingin kita inginkan. Apa? Bila? Siapa? Berapa lama? Di mana? Bagaimana? Dan apa-apa penjelasan yang kta rasakan perlu bagi menjadikannya lebih baik. Lewis Walker, Presiden Institut Jururunding Kewangan Berdaftar di Amerika Syarikat, memberikan suatu perkara yang mesti dielakkan dalam membuat sasaran, “Jangan buat matlamat dan sasaran yang kabur.”

2.       Jadikan matlamat itu sesuatu yang dapat dinilai
Apabila tiba tempoh jangka masa yang ditetapkan, kita dapat menilai sama ada kita berjaya mencapainya ataupun tidak. Contohnya, mendapat ‘A’ dalam subjek Matematik dapat dinilai, tetapiapabila kita mempunyai matlamat ‘hendak menjadi seorang yang gembira’, ia sudah tentu sukar untuk dinilai.

3.       Jadikan ia realistik
Usah membuat matlamat yang terlalu idealistik sehingga tidak praktikal untuk dilaksanakan. Buatlah matlamat yang sesuai dengan kemampuan, minat dan kebolehan kita. Tidak praktikal apabila kita hendak menyertai Puteri Islam jika kita seorang lelaki!

4.       Tetapkan tempoh masa yang jelas dan munasabah
Tetapkan kerangka masa yang sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai. Apabila markah subjek Matematik ekarang adalah 60 peratus, adalah munasabah apabila kita hendak meningkatkan sehingga 98 peratus dalam ujian esok hari? Dengan itu, kita juga perlu melihat kemampuan, minat dan kebolehan kita dalam situasi ini.

5.       Serasi dengan jiwa
Matlamat yang ‘asing’ dengan jiwa dan perangai kita biasanya akan ditinggalkan tidak lama kemudian. Renunglah diri secara ikhlas dan jujur. Apakah kepercayaan dan nilai yang ada di dalam diri? Bagaimanakah kita melihat sesuatu? Apakah perkara yang dibenci? Apakah idealisme kita?

Gambar Hiasan

6.       Pecah-pecahkan matlamat
Mungkin matlamat kita terlalu banyak sehingga nampak sukar. Bahagikan ia kepada tahunan, bulanan, mingguan dan harian. Apabila kita hendak mengumpulkan sebanyak RM100 000 000 dalam masa 30 tahun, berapakah duit yang perlu kita tabungkan setiap hari? Berapa banyak yang hendak dimasukkan ke dalam akaun pelaburan setiap bulan?

7.       Sebarkan kepada orang lain
Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi dengan memberitahu orang lain apa yang kita hendak capai, ia meningkatkan semangat kita. Lebih daripada itu, orang lain juga mungkin dapat memberi idea dan bantuan bagaimana mencapainya.

8.       Kita mesti bertanggungjawab
Ia adalah matlamat milik kita, bukan milik ibu bapa, rakan ataupun jiran. Oleh itu, bertanggungjawab dengan apa yang kita tentukan untuk diri. Selalulah membuat post mortem dan muhasabah prestasi matlamat kita. Ia bukan perkara yang sukar apabila matlamat kita mempunyai rangka masa dan dapat dinilai.

9.       Berdisiplin dan istiqamah
Ramai orang yang mempunyai matlamat tetapi hanya tinggal matlamat. Tetapkan standard disiplin yang perlu dipatuhi dan tentukan tahap minimum usaha yang perlu kita lakukan dalam suatu masa.

Gambar Hiasan

Dengan memasukkan resepi-resepi tersebut, seseorang dapat merealiasasikan matlamat hidup yang ingin dicapai dengan sebaiknya. Perkara yang paling penting ialah niat dan tujuan yang baik. Jika niat matlamat yang ingin dicapai itu adalah suatu yang tidak baik, kemungkinan setiap apa yang dirancangkan tidak dapat menemui kejayaan. Berdoa dan tawakal setelah berusaha juga ada ramuan penting untuk berjaya.

Sekadar Perkongsian… Wallahua’alam…

maktabah-ilmu.blogspot.com













1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...