JAUHI DIRI DARI PERKARA SYUBHAT
[Tazkirah]
maktabah-ilmu.blogspot.com
Daripada Abu Abdullah an-Nu’man bin Basyir r.a berkata,saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu (juga) jelas, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubhat (belum diketahui halal dan haramnya) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari perkara-perkara yang syubhat itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya (dari kata-kata nista orang lain). Orang yang tergelincir dari ke dalam perkara syubhat itu akan tergelincir ke dalam perkara haram pula, laksana seorang pengembala yang sedang mengembala di sekitar kawasan larangan, akhirnya lalai, lalu memasuki tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja itu tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah perkara-perkara yang diharamkanNya. Dan ketahuilah bahawa pada setiap jasad itu seketul daging. Sekiranya baik, baiklah seluruh jasad itu, dan sekiranya ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ia itu adalah hati.” – HADIS RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM
Hadis ini sesuai sekali untuk dijadikan penawar hati bagi diri setiap Muslim, terutama sekali orang awam, sebab kebiasaannya mereka agak kurang mengetahui soal hukum hakam dalam Islam. Maka apabila kita berpegang teguh dengan maksud dari hadis ini, terselamatlah kita dari perkara-perkara yang mungkin akan membahayakan amalan kita seharian.
Hadis ini membicarakan tentang keperluan kita untuk mencari dan mendapatkan sumber dari betul-betul halal, dan pada waktu yang sama, kita cuba untuk menjauhkan diri daripada yang telah nyata haramnya, dan keduanya telah jelas dan diketahui umum tanpa perlu menyelidikinya. Allah swt telah mengurniakan kepada kita kitab al-Quran dan Sunnah Nabi saw, yang padanya tercatit segala sesuatu berkenaan perkara-perkara yang halal dan haram. Maka, perlulah kita melengkapkan diri kita dari petunjuknya jika kita benar-benar ingin mengetahuinya secara jelas dan terperinci.
Dan untuk meyakinkan diri agar selamat dari yang haram, hendaklah kita meninggalkan mana-mana yang masih belum terang hukumnya, sama ada haram atau halal. Sebaiknya, kita serahkan kepada orang yang lebih mengetahui akan halnya, kerana mencampuri urusan yang kita bukan dari ahlinya dikuatiri akan menceburkan diri ke dalam jurang yang penuh keraguan dan ketidaktentuan, dan yang demikian itu akan mengakibatkan diri kita terdedah kepada berbagai-bagai bahaya dan musibah.
Sebab biasanya, bila kita tergelincir ke dalam sesuatu perkra syubhat yang ringan, tidak mustahillah sesudah itu, kita akan tertarik pula ke dalam sesuatu perkara syubhat yang lebih berat lagi. Dan begitulah seterusnya dari syubhat ke syubhat yang lain sehingga akhirnya, sama ada kita sedar ataupun tidak, kita terus tercebur ke dalam perkara yang sudah terang haram hukumnya, padahal kemungkinan sekali kita telah pun mengetahui tentang pengharaman perkara itu, ataupun kiranya kita belum mengetahui ataupun lalai, kita sengaja tidak ingin mengetahui tentang pengharamannya, ataupun kita sengaja menyangkakan atau menganggapnya tidak haram.
Hal ini serupa berlaku dalam masyarakat orang-orang yang kurang ilmu pengetahuannya, yang oleh kerana tidak memberatkan perkara yang syubhat itu, sehingga mereka terperangkap ke dalam yang haram tanpa disengajakan ataupun diketahuinya bahawa perkara itu adalah haram, akan tetapi pada ketika itu mereka sudah tiada daya lagi untuk menahan diri daripadanya atau menolaknya sama sekali. Oleh itu, kita hendaklah memelihara diri kita dari terpengaruh dengan perkara-perkara syubhat itu, agar kita terselamat dari bahaya dan musibahnya di belakang hari.
Akhir sekali mengenai hati. Hati haruslah dijaga dan dipelihara dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Sebab walaupun ia hanya kecil, hanya seketul daging, akan tetapi pengaruhnya amat berkuasa sekali dan boleh membahayakan diri. Oleh itu, manusia perlu sentiasa berwaspada terhadapnya agar selamat dari akibat dan bencananya.
Wallahua’lam… sekadar perkongsian.
makbatah-ilmu.blogspot.com



No comments:
Post a Comment